Maksud kata ganda ialah proses pengulangan kata secara keseluruhan perkataan atau pada bahagian-bahagian perkataan yang tertentu.
Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, Kata Ganda ialah bentuk yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulang kata dasar tersebut diulang secara seluruh/pada bahagian-bahagian tertentu dengan imbuhan atau tanpa imbuhan.
Antara contoh kata ganda ialah langit-langit, berulang-ulang, rerambut dan sebagainya.
Jenis Kata Ganda

Terdapat 5 jenis kata ganda BM yang selalu digunakan dalam karangan. Antaranya ialah
- Kata Ganda Seluruh
- Kata Ganda Semu
- Kata Ganda Separa
- Kata Ganda Bersajak atau Berirama
- Kata Ganda Berimbuhan
Kata Ganda Seluruh
Kata ganda seluruh atau penuh ialah kata dasar yang digandakan sepenuhnya. Kata ganda seluruh mesti ada tanda sempang -. Ia juga terdiri daripada kata nama, kata adjektif, kata kerja dan juga kata keterangan.
Antara contoh kata ganda seluruh ialah
Gandaan Kata Nama | Gandaan Kata Kerja | Gandaan Kata Adjektif |
---|---|---|
buku-buku | baring-baring | manis-manis |
lembu-lembu | pandang-pandang | besar-besar |
murid-murid | jeling-jeling | kecil-kecil |
kawan-kawan | usik-usik | lambat-lambat |
rakan-rakan | jalan-jalan | laju-laju |
Kata Ganda Semu
Kata ganda semu terdiri daripada katanama yang digandakan yang membawa makna tertentu bila digandakan.
Antara contoh kata ganda semu ialah agar-agar, angkut-angkut, anting-anting, biri-biri, epok-epok, gula-gula, jemput-jemput, jentik-jentik, kanak-kanak, kunang-kunang, kuda-kuda, kupu-kupu, kura-kura, dan sebagainya.
Antara contoh penggunaan kata ganda semu ialah “Angkut-angkut sedang buat sarang di atap rumah cik ryda”
Kata Ganda Separa
Kata ganda separa ialah kata ganda yang mengalami pengulangan suku kata pertama pada kata asalnya. Selain itu, bunyi vokal pada suku kata pertama berubah menjadi vokal yang dilambangkan dengan huruf e.
Antara contoh kata ganda separa ialah
Kata Dasar | Kata Ganda | Kata Ganda Separa |
---|---|---|
Layang | Layang-layang | Lelayang |
Kuda | Kuda-kuda | Kekuda |
Langit | Langit-langit | Lelangit |
Kata Ganda Bersajak/Berima
Kata ganda bersajak atau berima ialah kata ganda yang mengalami persamaan atau penyesuaian bunyi (rima) di pangkal, di hujung, atau seluruhnya apabila digandakan.
Antara contoh penggunaan kata ganda bersajak/berima ialah
Jenis Kata Ganda | Contoh | Penggunaan Ayat |
---|---|---|
Persamaan bunyi di hujung | Kuih-muih, lauk-pauk | Jemputlah makan kuih-muih yang terhidang tu ye |
Persamaan bunyi di pangkal | Batu-batan, bukit-bukau | Batu-batan tu mereka ambil dekat bukit berdekatan |
Persesuaian bunyi keseluruhan | Kusut-masai, simpang-siur | Sikatlah sikit rambut tu. Kusut-masai macam apa dah mak tengok ko ni |
Kata Ganda Berimbuhan
Kata ganda berimbuhan ialah kata ganda yang ditambah dengan imbuhan, sama ada yang berupa awalan, akhiran, apitan atau sisipan.
Kata ganda berimbuhan ini diberi tanda sempang (-)
Imbuhan | Contoh |
---|---|
Awalan | tercari-cari, berjam-jam, ketujuh-tujuh, melambai-lambai, tersipu-sipu, tertanya-tanya |
Akhiran | buah-buahan, gali-galian, ulam-ulaman, sayur-sayuran, biji-bijian, mati-matian, kenang-kenangan |
Apitan | bersalam-salaman, bercakar-cakaran, keanak-anakan, kebiru-biruan, sekecil-kecilnya |
Sisipan | awan-kemawan, tikam-menikam, tilik-menilik, tulis-menulis, usik-mengusik, ukir-mengukir |
Contoh penggunaan ayat kata ganda berimbuhan “Sikap bantu-membantu hendaklah sentiasa diamalkan dalam masyarakat”
Antara Kesalahan Kata Ganda
- Tidak perlu lagi menggunakan perkataan berulang-ulang atau berkali-kali jika sudah ada penggunaan kata ganda yang menunjukkan penggunaan berulang. (contoh 1)
- Kesalahan menyertakan kata bilangan kepada kata ganda bersajak/berima yang kata dasarnya terdiri daripada kata nama. (contoh 4)
- Kesalahan menyertakan kata saling kepada kata ganda menyaling dalam ayat. (contoh 3)
- Kesalahan menggandakan kata nama dalam ayat apabila kata adjektifnya telah digandakan. (contoh 2)
Contoh | Ayat Kata Ganda Salah | Ayat Kata Ganda Betul |
---|---|---|
1 | Abang melambai-lambaikan tangannya berkali-kali sebelum meninggalkan rumah ibunya | Abang melambai-lambaikan tangannya sebelum meninggalkan rumah ibunya |
2 | Baju-baju itu besar-besar belaka | Baju itu besar-besar belaka |
3 | Mereka saling caci-mencaci | Mereka caci-mencaci |
4 | Semua kuih-muih itu dijualnya di pasar malam | Kuih-muih itu dijualnya di pasar malam |
Penutup
Untuk lebih lanjut mengenai kata ganda anda boleh menonton video di bawah ini ye. Selamat menonton semua.
Jangan lupa gunakan contoh kata hubung sekali bersama dengan kata ganda dalam penulisan anda.