Tips Umrah DIY

Tips Umrah DIY

Jom baca perkongsian oleh Ummu Jannah Muhammad berkenaan tips umrah DIY.

Umrah DIY 2023. Allah izin permulaan 2023 yang indah, penuh rasa syukur tak terhingga.

Bermula dari post tentang perjalanan menuju ke kota suci Mekkah, dah ada yang minta nanti sharekan tentang Umrah DIY. Bajet, iterenari, tips dan sebagainya. Tapi bila fikir fikir sebenarnya dah terlalu ramai sangat share pasal cara umrah DIY.

Dekat butang search tu kalian tulis je “Umrah DIY”, maka keluarlah pelbagai jenis cara, bajet dan sebagainya. Tinggal kita pilih, susun dan urus untuk step seterusnya.

Maka saya rasa saya lebih suka nak share sedikit tips & tricks ataupun pengalaman yang saya rasa mungkin berguna juga untuk sahabat-sahabat lain yang nak buat Umrah DIY mahupun melalui travel agent.

Post ini mungkin sedikit panjang ya. Bahagian Madinah kita sambung part 2 insyaAllah.

tips umrah diy

1. Untuk pemilihan team trip umrah, hakikatnya memang aturan Allah. Walau nanti kita dah plan akan pergi dengan siapa, jangan putus-putus doa agar Allah beri kita kawan perjalanan yang baik, yang sabar. Ini penting terutama jika buat umrah DIY memang akan berlaku sebarang kemungkinan besar yang tak dijangka.

Maka, kawan umrah yang baik & sabar sangat penting agar jika berlaku apa-apa, Allah jauhkan dari segala perbalahan atau ungkit mengungkit. Syukur sangat trip kali ini, trip umrah pertama Allah izin orang-orang yang baik & tepat, sabar dan rileks je semuanya dengan hiccups yang berlaku.
Tips ni waktu saya cari ceramah tentang umrah di youtube, ini antara tips umrah DIY terawal yang Ustaz Don kongsikan.

2. Bagi mereka yang buat Umrah DIY, permohonan visa boleh buat selepas pembelian tiket. Atau mungkin beberapa minggu sebelum bertolak. Macam kami, kami buat kira-kira dua minggu sebelum beli tiket dan tiga bulan sebelum trip kerana excited dan risau juga jika lambat. Tapi permohonan visa berjaya diterima kurang dari setengah jam. Dah terlalu gembira sangat campur berdebar tak sabar nak pergi walau tiket belum beli masa itu.

Kenapa dicadangkan lewatkan sedikit permohonan visa? Kerana visa pelancong boleh diguna sehingga setahun dari tarikh berjaya diterima. Jika buat awal agak sayang jika dijemput lagi ke Kota Suci dalam masa setahun, perlu apply semula.

3. Untuk pemilihan hotel di Mekkah, jika bukan di kawasan clock tower atau sekitar masjidil Haram, make sure hotel tersebut ada sediakan shuttle bus untuk ke stesen bas masjidil Haram. Ini boleh check di bahagian comment/review waktu buat tempahan di website.
Di sana, boleh kenalpasti sticker nama hotel kita ditampal di bas. Kenalpasti juga nama-nama hotel sebelah atau hadapan. Kita boleh naik juga jika shuttle bas hotel kita tiba lambat. Namun sebenarnya jemaah negara luar biasa sahaja berjalan kaki dari hotel-hotel jauh ke Masjidil Haram. Cuma jemaah kita memang jarang nampak atau kami yang tiada rezeki nak bertembung. Hotel kami di Mekkah, Batoul Ajyad disediakan shuttle bus yang sangat selesa.

Cuma pernah satu Subuh saya terlambat dah nak ke masjid kira-kira 15 minit lagi masuk waktu Subuh, dah tiada shuttle bas. Tahan taxi, bayar 5 riyal sahaja ke Haram. Cuma kalau gini kena ada basic arab juga kalau tak dia takmau bagi 5 riyal. Minimum pun 10 riyal dari hotel kami ke Haram.
Di Madinah, saya rasa memang tiada hotel yang sediakan shuttle bus kerana kebanyakan hotel jemaah memang berada di sekitar masjid sahaja. Hotel kami perlu jalan kaki lebih kurang 30 minit. Keluar pagi enjoy keheningan waktu Subuh. Waktu malam balik enjoy banyak kedai kiri kanan buat cuci mata. Kalau naik taxi sapu, sekitar 7-10 riyal. Kenalpasti pintu / gate mana yang terdekat dari hotel kita untuk masuk Masjid Nabawi.

Untuk penginapan berdekatan dengan Madinah, layari: Where to Stay in Madinah

4. Waktu lapang yang tidak sesak untuk buat tawaf (kali pertama atau tawaf sunat) di mataf adalah sekitar jam 8-10 pagi (kerana kebanyakan jemaah keluar sarapan / balik hotel ketika ini) dan kira-kira satu jam selepas solat isya’ ke atas.

Pengalaman pertama kami flight touchdown jam 5.30 pm di Jeddah. Tak sampai satu jam (urusan tandas, imigresen, ambil beg) selesai semua urusan dan keluar dari airport jam 6.30 pm. Tiba di Kota Mekkah sekitar jam 8 malam. Selepas urusan simcard, check in hotel, urus diri dan makan malam, kami mula tawaf sekitar 9.30 pm masyaAllah tenang sangat waktu ini. Tak bersesak. Kenangan umrah pertama yang indah.

5. Di hotel kami ada pemberian simkad free. Person in charge di kaunter bagitahu terus. Percuma 2gb internet. Jadi team kami yang tak buat roaming / belum daftar apa apa line saudi ketika itu memang teruja akan terus register. Tapi peraturan di sana satu nombor visa untuk satu line internet sahaja. Jadi bila kita dah daftar dengan satu line, tak boleh apply dah untuk line lain.

Rupanya pakej yang ditawarkan tu, free 2gb sahaja dan perlu bayar sejumlah yang mahal untuk internet sambungan. Jadi jangan terburu-buru daftar internet. Kaji betul betul apa yang berbaloi & sesuai dengan keperluan masing-masing. Nanti di sekitar masjidil haram pun banyak kiosk kiosk pilihan untuk daftar line internet.

6. Jumaat di Masjidil Haram (& mungkin di Masjid Nabawi juga. Cuma time saya di Madinah, imam tak baca Surah Sajadah pulak) kebiasaannya memang akan dibacakan Surah Sajadah & akan buat sujud sajadah. Waktu saya di sana, askar-askar sampai jerit “Sujud ya Hajjah, sujud!!” kerana kebanyakan jemaah tidak tahu. Ada yang berdiri sahaja, ada yang ruku’, ada yang sambung solat sendiri kerana dah terlebih dari imam. Travel agent boleh remind jemaah atau jika mak ayah pergi tanpa kita, kita yang remind diorang.

7. Untuk solat di rooftop, boleh masuk pintu 91 dan naik eskalator menuju ke tingkat atas sekali. Lelaki & perempuan dua-dua boleh. Waktu terbaik solat Subuh & Maghrib-Isyak. Tenang, cantik, masyaAllah. Susah nak diungkap.

Untuk penginapan berdekatan dengan Mekah, layari: Where to Stay in Mekah

Untuk jemaah wanita yang nak solat/iktikaf di kawasan yang relax sikit, tertutup, bercarpet, boleh masuk pintu 86 & 88 tak silap saya. Di tingkat 1 pun ada. Kat sini jemaah wanita boleh tidur-tidur & berehat juga. Cuma yang terbaik memang kalau kita dapat usaha solat di mataf.

8. Kalau nak solat di mataf, jemaah perempuan memang kena lagi datang extra awal sebab jemaah perempuan takde restriction untuk pakaian ihram jadi semua pun bebas turun ke mataf. Sejam setengah awal sebelum waktu solat dah kena ready. Kadang sejam sebelum askar dah tak bagi jemaah perempuan turun, lelaki masih boleh. Kadang ada waktu penuh juga, banyak-banyak minta pada Allah. Rabbi yassir wala tuassir tak lekang di mulut. Kadang ada rezeki tiba-tiba askar akan buka gate.

9. Jika yang berhajat untuk tempah tiket train haramain high speed dari Mekkah ke Madinah, boleh tempah jam 3 petang ke atas jika berhajat untuk dapatkan solat zohor akhir di Mekkah. Walaupun zohor sekitar jam 12.30 tengahari, perlu ambil kira keadaan & jalan sekitar Haram memang akan sesak setiap kali selepas solat.

10. Tips terakhir untuk post ini, kalau dapat usaha dapatkan trip yang lama, usahakanlah. Personally saya rasa trip biasa 12 hari 10 malam yang TA buat tu sekejap. Cuma kita memahami semakin lama di sana kos akan bertambah. Bare minimum mungkin 16 hari 14 malam seperti yang kami buat. Namun ini bergantung juga pada bajet, kehendak & kebolehan untuk ambil cuti lama kalian okeh.

Rasa banyak sangat nak share dan tak reti nak tulis pendek-pendek tipsnya. Belum cerita pengalaman jumpa mama-mama di sana lagi, semua atas izin Allah untuk muhasabah & mendidik diri.

Ingin Tahu Bagaimana Anda Boleh Kerjakan Umrah Dengan Bajet Kurang Daripada RM7,000 Seorang? Klik: Tips Umrah DIY

Soalan Lazim & FAQ

1. Perlukah cucuk vaksin jika melakukan Umrah DIY?

Tidak perlu vaksin

2. Ada lokasi money exchange yang berbaloi? Atau keluarkan duit dari ATM di sana je?

Ada banyak money changer di Mekah dan Madinah

3. Ada apa2 perkara yang perlu di sediakan ke?

Doa banyak-banyak supaya dipermudahkan Allah segala urusan di Mekah nanti.

4. Perlukah renew passport jika bawah 6 bulan dari tarikh expired?

Kena renew. mesti sekurang2nya ada tempoh 6 bulan dari tarikh balik. Airport xlepas kalau expired kurang dari 6 bulan

5. Nak beli tiket flight dulu atau mohon Tourist Visa (TV) Saudi dulu?

Bagi pendapat admin, TV ialah visa paling mudah nak dapat didunia. Dalam 30 minit saja anda akan beroleh visa tersebut. Maklumat diperlukan pun sangat simple. Tidak seperti ETA visa Australia yang kebarangkalian dapat atau ditolak ialah 50/50. Jadi untuk TV tiada keperluan untuk mohon dulu. Rugilah mohon awal-awal. Boleh baca: Cara Mohon Visa Umrah Atau Visa Pelancong Secara Online

Leave a Comment